B20 Biodiesel

Apakah Biodiesel dan B20?

Biodiesel adalah sejenis bahan api mesra alam yang boleh diperbaharu dan dihasilkan daripada minyak sayuran dan lelemak haiwan.

Biodiesel sawit diperbuat daripada sumber minyak kelapa sawit yang mampan melalui proses transesterifikasi. Ia boleh diadun dalam kadar berlainan untuk kegunaan sektor industri dan pengangkutan.

B20 biodiesel sawit merupakan adunan 20% biodiesel sawit dan 80% diesel petroleum. Pelancaran B20 biodiesel sawit bermula tahun 2020 mampu mengurangkan  kebergantungan kepada bahan api fosil dan memajukan negara dalam sektor tenaga hijau.

Apakah perbezaan antara biodiesel sawit dengan diesel petroleum?

  • Biodiesel sawit membakar dengan lebih lengkap dengan pelepasan gas rumah kaca lebih rendah berbanding dengan diesel petroleum.
  • Biodiesel sawit membakar dengan lebih efisien, menghasilkan pembakaran lebih baik, lebih bersih dari segi pelepasan ekzos dan mengurangkan kehausan enjin disebabkan nilai pelinciran biodiesel sawit yang tinggi.
  • Diesel petroleum diproses daripada minyak fosil manakala biodiesel sawit dihasilkan dari minyak sawit yang boleh diperbaharu dan mampan.

Bagaimanakah biodiesel sawit dihasilkan?

Biodiesel sawit dihasilkan oleh negara-negara pengeluar minyak sawit seperti Malaysia, Indonesia, Thailand, Colombia dan sebagainya.Malaysia mampu menghasilkan sebanyak 2 juta tan biodiesel sawit setahun dengan 16 loji biodiesel sawit beroperasi di seluruh negara.Berikut adalah bagaimana biodiesel sawit dihasilkan dan diproses menjadi B20.

  • Minyak sawit tertapis diproses melalui tindak balas transesterifikasi untuk menghasilkan biodiesel sawit
  • Biodiesel sawit dihantar ke depoh petroleum untuk disimpan
  • Adunan 20% biodiesel sawit dengan 80% diesel petroleum dihasilkan dengan menggunakan sistem pengadunan di depoh petroleum
  • B20 Biodiesel seterusnya diedarkan oleh syarikat petroleum ke stesen-stesen minyak di seluruh Malaysia

Manfaat dan faedah program Biodiesel MPOB:

  • Mengurangkan pelepasan gas rumah hijau
  • Mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil
  • Mengurangkan import bahan diesel dan petroleum
  • Peningkatan nilai eksport minyak sawit mentah (MSM) berikutan kenaikan harga MSM
  • Menyedia peluang pekerjaan baharu
  • Meningkatkan pendapatan pekebun kecil dengan kenaikan harga minyak sawit
  • Merupakan sumber tenaga yang boleh diperbaharu.
Malay